Marah-marah
Saya hendak menulis yang tenang-tenang, sejuk mata memandang dan lega hati membaca. Tapi ceramah ustaz yang begitu hampir dengan rumah saya, buatkan saya tidak boleh fokus.
Saya tidak boleh salahkan ustaz tersebut. Perasaan saya, pandai-pandailah kawal. Kenapa hendak salahkan orang pula?
Ustaz tersebut marah. Pada kerajaan yang tidak ikut syariat Allah. Pada orang Islam yang tidak ikut Islam dan bercerita tentang segala bala bencana, dosa neraka pada mereka yang melanggar ajaran Tuhan.
Sepatutnya saya mendengar itu dengan hati yang redha. Tenang, akur dan patuh kerana itu semua ajaran Islam, mengajak pada kebaikan dunia dan akhirat. Sepatutnya begitulah.
Tapi, maaf ya, saya tidak boleh menerima dunia simplistik begitu. Tuhan tidak membebankan manusia, Muhammad s.a.w memilih yang lebih mudah; tapi kita sama-sama tahu Tuhan itu Maha Bijaksana, Perancang Maha Agung. Muhammad s.a.w itu penuh strategi, dia tidak sesuka hati menunjukkan mukjizat; bahkan banyak masanya lebih senang bersusah-payah untuk berjaya.
Kita di sekolah belajar algebra, belajar tindak balas redoks dan dunia wireless akan mengganti kabel, balik-balik pergi surau, pergi masjid, ustaz beritahu kita dunia ini sia-sia sahaja.
Buat apa belajar sungguh-sungguh kalau dunia ini sia-sia sahaja?
Bukan hendak mengajar ya, siapalah saya. Saya belajar bersama-sama kritikan saya. Cuma sudah tiba masa 'orang-orang agama' benar-benar faham apa maksud 'agama itu tidak bercanggah dengan akal.' Bukan jadi hujah penguat supaya ramai-ramai pakat dengar ceramah, apatah lagi untuk mentafsir Quran semata-mata dengan akal, tetapi pemahaman lebih menyeluruh.
Muhasabah. Renung. Sudut mana dalam kata-kata kita itu sungguh bercanggah sekali. Sekejap kata Islam menyuruh kita berjaya di dunia, sekejap kata dunia itu sia-sia.
Mahu bercakap tentang Muhammad s.a.w, mesti kenal Muhammad s.a.w itu sendiri.
Lihat daripada mata baginda. Apa maksud kata-kata baginda? Apa konteks kata-kata baginda? Ustaz-ustazlah lebih faham apa itu asbab wurud dan apa itu syarah hadith.
Saya fikir Muslim memang tidak akan berjaya dunia akhirat; usah mimpi ibn Khaldun, ibn Sina atau Khawarizmi muda kalau pemikiran kita bercanggah-canggah. Pemikiran kita mesti jelas. Boleh berbeza sudut, tetapi tidak salah-menyalahkan antara satu sama lain.
Saya khuatir sekali, bolehkah masuk syurga abadi kalau syurga dunia itu kita tidak mampu kita wujudkan? Rumah tangga tunggang-langgang, anak-anak berselerakan dan hati penuh marah benci; calon syurgakah itu?
Allah Maha Adil.Taqwa itu takut kerana faham akan hebat dan agungnya tuhan, atau takut kerana momokan?
Banyaknya soalan. Saya pun tiada jawapan.
Allah lah yang Maha Tahu. Doa saya: Tulisan ini bukanlah peluru tersasar. Hikmahlah yang tiba dalam hati-hati kita. Bukan marah-marah lagi. Marah-marah yang tidak sudah-sudah.
Astaghfirullah Al-'Azim